SEBANYAK 173 cawangan jenama francais Malaysia berkembang di pasaran India, yang terdiri daripada 10 jenama francais tempatan.

Jenama francais tempatan terlibat termasuklah Beaubelle, Brainy Bunch, Clara International Beauty Group, Globalart Creative, Marrybrown, Poney, Royal Selangor, Resipi Rahsia, Smart Reader dan World of Feng Shui (WOFS).

Pasaran francais menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi India menerusi peluang pekerjaan, akses kepada barangan dan perkhidmatan diperlukan serta pengembangan dasar cukai India.

Melihat permintaan semakin meningkat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan agensinya, Perbadanan Nasional Berhad menyertai misi perdagangan antarabangsa sempena Pameran Francais & Perdagangan Kebangsaan ke-100 (FRO Chennai 2017) di Chennai, India, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid berkata, misi perdagangan itu bertujuan mempromosikan jenama francais Malaysia ke pasaran antarabangsa terutama di India.

“Penyertaan dalam misi perdagangan ini adalah salah satu platform terbaik bagi usahawan francais tempatan untuk memperkenalkan produk dan mempamerkan model perniagaan mereka ke India.

“Dari apa yang saya lihat, terdapat potensi besar di India untuk jenama francais tempatan di sini. Saya berharap usaha ini akan diteruskan pada masa depan,” katanya ketika majlis penutupan Pavilion Francais Malaysia di Pusat Perdagangan Chennai, India, baru-baru ini.

Selain menyertai pameran itu, delegasi Malaysia juga membuat lawatan ke cawangan jenama francais terkemuka Malaysia di Chennai, iaitu Marrybrown, yang pada masa ini mempunyai 35 cawangan di seluruh India termasuk 18 cawangan terletak di Chennai.