Pengarah Urusannya Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shabudin berkata, setakat ini berdasarkan kepada permohonan yang dilakukan, empat jenama francais berjaya memperoleh lesen berkenaan iaitu Putu Bambu World, Dpizz Pizza, D’Apple dan Otak-Otak Johor.

 Beliau berkata, usaha terbabit adalah langkah strategik yang dilaksanakan memandangkan fokus utama adalah membantu usahawan untuk berkembang dengan lebih baik dalam dunia perniagaan.

“Setakat ini dalam lima jenama francais yang dihantar, empat daripadanya berjaya mendapat lesen francaisor dan tahun depan kita jangkakan lima lagi francais menjadikan semua sekali sembilan mempunyai lesen ini.

“Melihatkan kepada perkembangan industri francais tahun ini, separuh kedua 2017 menyaksikan jualan perniagaan francais semakin meningkat dan momentum itu diunjur kekal positif sehingga suku pertama tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran perniagaan francais MD Putu Bambu World di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Basaruddin Sadali, Pengerusi MD Foodstuff Sdn Bhd (MD Foodstuf) Amsani Yem dan Pengarah Urusan MD Foodstuf Karim Atan.

Majlis itu menyaksikan francaisor rangkaian kuih putu bambu itu melebarkan sayap perniagaan kepada 40 rakan niaga atau francaisi baru membabitkan usahawan dari wilayah utara, selatan dan pantai timur.

Dalam 40 francaisi itu, 30 daripadanya adalah usahawan trak makanan manakala selebihnya adalah usahawan kios dengan tiga pakej bermula dari RM30,000 hingga RM120,000 untuk konsep kios dalam bangunan, luar bangunan dan bergerak (trak makanan).

Sementara itu, Basaruddin berkata, pada tahun ini kementeriannya optimis sumbangan sektor francais kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mampu mencecah RM27 bilion dan sehingga 30 November lalu, sektor berkenaan mencapai RM27.53 bilion.

Menurutnya, setakat 1 Disember lalu, terdapat 848 perniagaan francais yang masih dalam pendaftaran di bawah KPDNKK membabitkan lapan sektor iaitu makanan, pakaian dan aksesori, perkhidmatan dan penyelenggaraan, pusat pembelajaran dan asuhan kanak-kanak, rawatan kecantikan dan kesihatan, kedai serbaneka dan pasar raya serta teknologi maklumat (IT) dan telekomunikasi.